Saturday, 22 July 2017

AMALAN BERGOTONG ROYONG DAPAT MEWUJUDKAN SILATURAHIM

    

DUA6022: KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM

PENSYARAH: PUAN WAN RUSWANI BT WAN ABDULLAH

AHLI KUMPULAN:-
NUR RASYIDAH BT MOHD TAHIR 02DTM15F1012
NURFARAH AMIRAH BT MANSOR MUSAWIR 02DTM15F1080
NUR AINA SOFEA BT TAJOL ARIF 02DTM15F1094
NUR ATIKAH BT ABDUL TALIB 02DTM15F1097
JAYASRI SELVAM 02DTM15F1047












PENGENALAN

        Amalan gotong-royong merupakan satu amalan yang sering dilakukan terutamanya dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ia juga merupakan sebahagian daripada cara hidup atau adat resam dalam masyarakat khususnya apabila adanya kenduri perkahwinan, perayaan, mahupun sesuatu majlis. Kini, selepas kemerdekaan atau lebih tepat lagi, selepas pengwujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1973, gotong-royong telah dimartabatkan sebagai salah satu nilai sosioekonomi kebangsaan dalam usaha pembentukan bangsa Melayu. Pada masa kini, isu-isu yang berkaitan dengar aktiviti gotong-royong acapkali diperkatakan. Aktiviti gotong-royong mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat antaranya adalah amalan gotong-royong dapat mewujudkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan kaum. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan “bagai aur dengan tebing” merupakan kata yang dapat dijadikan contoh bahawa nilai perpaduan dan kerjasama itu sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Justeru, hubungan silaturrahim dikalangan kaum juga dapat dieratkan dengan adanya aktiviti ini. Gotong-royong adalah amalan yang dilakukan oleh masyarakat secara bekerjasama dan saling tolong menolong dalam menyelesaikan pekerjaan dengan secara sukarela.


OBJEKTIF


  •     Mewujudkan hubungan silaturahim yang kukuh antara satu sama lain.
  •      Menjadikan Negara Malaysia hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera.
  •     Menjadikan Negara Malaysia bersih disebabkan adanya sikap kerjasama antara kaum.
  •      Mengenal pasti masalah aktiviti gotong-royong semakin pudar masa kini.


 DEFINISI GOTONG ROYONG

 Istilah gotong royong adalah berasal dari negara Indonesia. Ianya bermaksud sebuah kerja sama atau bekerja secara kelompok antara sejumlah warga masyarakat untuk menyelesaikan sesuatu atau pekerjaan tertentu yang dianggap berguna untuk kepentingan dan kesejahteraan bersama. Kebiasaanya amalan gotong royong ini selalunya dapat dilihat di kawasan luar bandar dan jarang untuk orang-orang bandar mengamalkan amalan ini. Oleh sebab itu, semangat kejiranan makin pudar untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar. Pada pendapat kami, aktiviti gotong-royong ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat di Negara ini untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara jiran-jiran serta ianya dapat mengeratkan perpaduan di antara kaum.

KEPENTINGAN GOTONG-ROYONG DALAM MENGERATKAN SILATURAHIM

  Seperti yang sedia maklum, gotong royong merupakan amalan yang mulia. Kerana ianya adalah satu amalan yang membantu antara satu sama lain serta merupakan satu amalan yang dapat memudahkan pekerjaan orang lain. Sekiranya amalan gotong royong ini dipupuk dalam kalangan masyarakat ianya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Bak kata pepatah Melayu; " berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Demikian juga tentang kerja gotong-royong ini. Semua orang mengetahui bahawa sesuatu kerja yang besar buatannya dan juga belanjanya akan menjandi enteng dan kecil kosnya jika dilakukan beresama-sama. Itu adalah prinsip gotong-royong.

   Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum. Gotong royong adalah salah satu cara untuk rakyat Malaysia berinteraksi dan tolong menolong antara satu sama lain. Pada zaman yang penuh dengan teknologi mewah contohnya seperti smart phone ini, rakyat Malaysia makin kurang berinteraksi di antara satu sama lain dan juga kurang untuk membantu antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan jiran tertangga atau kawan kawan kurang berinteraksi, malah dengan keluarga sendiri juga tidak ada komunikasi. Hal ini sangat membimbangkan kerana ianya boleh menyebabkan kurang persefahaman di antara satu sama lain. Kurang berinteraksi juga akan menyebakan hubungan sesuatu keluarga itu renggang dan kurang bantu membantu jugak akan menyebabkan amalan mulia ini akan pudar dan hilang dimakan zaman.


KEBAIKAN AMALAN GOTONG-ROYONG

    Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja yang kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotong-royong, kerja yang kita lakukan akan lebih senang. Di kampung, majlis yang diadakan biasanya dibuat secara gotong-royong seperti majlis perkahwinan. Dalam sesuatu majlis yang diadakan itu,, penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak dan mendirikan khemah.
  
   Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang dilakukan akan mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam membersihkan kawasan balai raya atau sekolah. Apabila kerja yang kita lakukan cepat siap, secara tidak langsung kita dapat menjimatkan masa dan tenaga.
  
  Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam sesetengah keadaan, kita boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus. Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan. Selain itu, kita juga boleh menjimatkan perbelanjaan membina tempat menunggu bas, jika dibuat secara gotong-royong.
     
       Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan kita. Amalan nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan kerajinan. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam masyarakat.


    Aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju.

CONTOH GOTONG-ROYONG

       
    Contoh kegiatan yang dapat dilakukan secara bergotong royong antaranya ialah membersihkan kawasan perumahan bersama jiran tetangga, kawasan sekolah bersama rakan-rakan, kawasan yang dilanda banjir, membaikpulih kawasan masjid, dan bergotong-royong membantu persiapan majlis perkahwinan. Semua aktiviti tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang terlibat, malahan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan memupuk perpaduan antara satu sama lain. Tambahan pula, dengan bergotong royong, banyak hal yang telah dilakukan bangsa kita di masa lalu, mulai dari mendirikan rumah, mengerjakan sawah, membantu tetangga yang sedang berduka hingga saling bahu membahu berjuang dan memproklamasikan kemerdekaan negara. Contohnya seperti:-



GOTONG-ROYONG DI KAWASAN PERUMAHAN


GOTONG ROYONG DI KAWASAN SEKOLAH

GOTONG ROYONG DI KENDURI KAHWIN



USAHA USAHA MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA MELALUI AKTIVITI GOTONG-ROYONG.

      Dalam mengharungi arus pemodenan, usaha yang efisien harus dibuat bagi membentuk perpaduan kaum di negara kita. Pihak keraajaan mempunyai peranan dalam merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-alukan. Menurut Perdana Menteri kita, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui majlis sebegini. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara kita yang tediri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan mengitimkan hubungan mereka dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.

    Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negatif masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.


SEMANGAT GOTONG-ROYONG


 Semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat  tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat  bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

    Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama  penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

       Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa kebukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati  dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat,  seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat .

      Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat diimplimentasikan.   Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

    Intihannya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.





SEBAB SEBAB AMALAN GOTONG ROYONG MAKIN PUDAR




 Antara faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat Malaysia kurang mengamalkan gotong-royong ialah kekurangan masa. Di Malaysia, faktor masa penting dalam kehidupan seharian. Ini kerana ramai masyarakat Malaysia menghabiskan sebahagian besar dari masanya bekerja untuk mencari rezeki. Jika masyarakat Melayu tidak mengejar masa, mereka sendiri akan rugi. Ini kerana persaingan di Malaysia amat sengit. Oleh kerana masyarakat Melayu mahu mementingkan masa, nilai gotong-royong yang selama ini menjadi kebanggaan mereka akan diabaikan. Ini kerana kegiatan bergotong-royong ini memerlukan banyak masa. 

   Selain daripada itu, bantuan teknologi juga mendorong masyarakat Melayu kurang mengamalkan gotong-royong. Dengan bantuan teknologi, setiap aktiviti atau pekerjaan boleh dilakukan secara ringkas dan mudah. Jika dahulu, masyarakat Melayu menggunakan tenaga manusia untuk menebas hutan, kini mereka hanya memerlukan jentolak. Jika dahulu kita menggunakan khidmat kendarat untuk menghidangkan makanan di majlis perkahwinan, kini mereka menggunakan cara bufet.

     Selanjutnya, cara bekerja juga mendorong masyarakat Melayu kurang mangamalkan semangat gotong-royong. Kini masyarakat Melayu dipengaruhi oleh budaya kapitalisme. Budaya ini mementingkan kebendaan, bayaran dan ganjaran. Oleh itu, setiap pekerjaan yang dibuat haruslah diberi ganjaran. Nilai ini bertentangan dengan nilai gotong-royong. Nilai gotong-royong ini menggalakkan seseorang itu berkorban masa dan tenaga dengan tujuan membantu dan beramal. Namun demikian, masa dan keadaan tidak menggalakkan masyarakat melayu untuk bergotong-royong.



KESIMPULAN

   Gotong-royong merupakan sesuatu aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan dan ianya dilakukan dalam kelompok yang kecil, sederhana mahupun yang besar serta ahlinya mestilah mempunyai semangat bersatu padu dalam membersihkan sesuatu kawasan dengan mempunyai sikap bertolak ansur sesama mereka tidak kira kaum, agama ataupun bangsa. Perkataan ‘’ teamwork “ yang dipinjam daripada bahasa inggeris mempunyai maksud yang mendalam serta banyak digunakan ketika melakukan sesuatu aktiviti seperti bergotong-royong yang bermaksud kerjasama. Semangat bekerjasama haruslah dipupuk dari usia yang muda sebagai contoh dengan melakukan aktiviti bergotong-royong haruslah memupuk semangat “ teamwork “ agar dapat mengeratkan serta menjalinkan hubungan yang lebih akrab sesama kaum yang lain. Aktiviti bergotong-royong ini juga adalah sesuatu penyelesaian utama untuk menyatukan masalah ikatan hubungan silaturahim antara kaum-kaum yang ada di Malaysia.


   Kesimpulannya, aktiviti bergotong-royong ini amat penting, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan Negara yang kaya dengan pelbagai kaum serta etnik yang hidup bersama sejak zaman dahulu kala. Aktiviti bergotong-royong juga memberikan faedah yang banyak kepada kita. Kita juga dapat mengenal mereka dengan lebih mendalam. Aktiviti tersebut juga menjadikan semangat dalam diri kita lebih berkobar-kobar untuk membina Ukhwah Fillah antara kaum-kaum yang lain. Dengan terjalinnya hubungan silaturahim yang kukuh ini, Negara kita akan lebih aman, lebih mengambil berat antara satu sama lain dan perpaduan juga akan menjadi kukuh. Maka dengan perpaduan yang lebih kukuh yang dibangunkan oleh pegangan semua kaum, ianya dapat mewujudkan Negara Malaysia yang harmoni dan sejahtera serta wawasan 2020 dapat dilaksanakan.

      Akhir sekali, jelas dan teranglah matlamat pihak kerajaan yang selama ini mengadakan pelbagai aktiviti dan program-program bagi pelajar-pelajar yang masih dibangku sekolah lagi. Bak kata pepatah melayu “ melentur buluh biarlah dari rebungnya “ . Ini kerana amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya kesannya akan dilihat suatu hari kelak nanti umpama “alah bias tegal biasa “ . Silaturahim yang diwujudkan daripada aktiviti bergotong-royong juga dapat menghubungkan kembali hubungan yang telah terputus. Islam juga melarang kita memutuskan sesuatu ikatan silaturahim tetapi mengajarkan kita untuk membaiki lebih baik untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara kaum-kaum yang lain serta menghormati agama mereka. Maka tutuplah kalam terakhir dari kami dan sekian terima kasih.




RUJUKAN :-